Tuesday, November 24, 2009

JIM ROGERS SIRI 1

  1. Pertama kali saya menemui nama Jim Rogers adalah sewaktu membacabuku tulisan Sam Wyly : Entrepreneur to Billionaire 1000 Dollars & an Idea pada tahun 2008. Walaupun Sam Wyly menyebutnya secara sepintas lalu, ianya sudah cukup membuatkan saya berusaha untuk mengenal manusia bernama Jim Rogers ini.
  2. Jim Rogers yang di lahirkan di Demopolis, USA adalah pengasas Quantum Fund bersama George Soros, seawal umurnya belum mencapai 30 tahun dan bersara pada usia 37 tahun. Kemudian bertugas sebagai Profesor dalam bidang kewangan di Columbia University's Business School dan juga sebagai media commentator di seluruh dunia.
  3. Jim Rogers 66 tahun, telah menulis 5 buah buku A Bull in China, Hot Commodities, Adventure Capitalist, Investment Biker dan terkini A Gift to My Children. Sekarang ini Jim Rogers menetap di Singapura bersama isteri dan anak-anaknya, Happy (6 tahun) dan Babby Bee (1 tahun ).
  4. Seperti tajuknya, buku A Gift to My Children adalah catatan ingatan seorang bapa kepada anak-anaknya, pesanan penuh kebijaksanaan bersandarkan pengalaman memulakan kehidupan mencari wang dengan mengutip botol bekas minuman tatkala berusia 5 tahun (tahun 1948) dan bekerja di pelbagai tempat sepanjang meniti usia remaja sehinggalah memulakan kerjaya profesional di Wall Street ketika menjelang usia dewasa.
  5. Selepas 15 tahun, Jim Rogers berada di puncak kerjaya, mencapai tahap billionaire dan kemudiannya menjadi pengembara dunia sebagaimana yang diperihalkan dalam bukunya Adventure Capitalist dan Investment Biker.
  6. Menarik dalam buku ini, Jim Rogers memulakan dengan "swim your own races: Do not let others do your thinking for you"... Jim Rogers mengajar agar tidak hidup menurut kawanan (herd) kerana semua sejarah kejayaan menceritakan, idea idea yang berpotensi selalunya menjadi bahan ' gelak ketawa' dahulu sebelum berjaya. Itulah yang berlaku sewaktu Jim Rogers memulakan Quantum Fund.
  7. Perkara yang serupa berlaku bila Jim Rogers mula mengesan potensi China pada tahun 1980an. Ramai orang memberitahu yang Jim Rogers telah hilang akal..Deria niaga Jim Rogers mendesak beliau untuk menekuni political trend China dan belajar sebanyak mungkin tentang China. JIm Rogers kemudiannya datang melawat negara besar China dan belajar secara 'seeing it with his own eyes'.
  8. Jim Rogers mendapati China ada lebih dari 1 billion manusia dewasa pekerja dan mereka menabung hampir 1/3 dari pendapatan mereka, berbanding dengan kadar simpanan di USA adalah 2-4 %sahaja. Jim Rogers mendapati seawal pengembaraannya di China pada tahun 80an lagi, masyarakat Cina telah bekerja 'from dawn to dusk'.. dan semangat keusahawanan telah mula meresap dan membara dalam masyarakat Cina.
  9. Generasi muda mereka rajin belajar, menguasai English dan Japanese. China, selepas kematian Mao Tze- tung pada tahun 1976 telah berlari pantas dan hari ini sedang mendahului hampir semua negara di dunia dan sedang mengejar rapat untuk memintas Jepun dan USA.
  10. Jim, selanjutnya mengingatkan anak-anaknya agar pertama, 'be who you are . Be original. Be bold'. Mereka boleh jadi apa jua yang mereka impikan, menjadi diri mereka sebenar 'original and unique selves'. Kedua, Jim Rogers mahu anak-anaknya mempunyai etika, menghormati keluhuran undang-undang kerana menurut beliau manusia terhormat tidak akan mencari pasal melakukan perkara yang menyalahi peraturan di mana mana negara .Ketiga, Jim Rogers mengingatkan anak anaknya agar menabung dan menyimpan.
  11. Jim Rogers mengakhiri bab pertama dengan kata kata ' Those who save and invest wisely will face fewer financial woes throughout life'........ (bersambung)

Sunday, November 22, 2009

FALSAFAH PENSIL

Seorang cucu memerhatikan neneknya sedang menulis. Daklam asyik cucu bertanya, "Apakah nenek sedang menulis cerita tentang kehidupan kita? Tentang apa yang kita selalu lakukan?"

Nenek itu berhenti menulis dan berkata kepada cucunya, "Nenek sedang menulis tentang cucu, tetapi apa yang lebih penting dari perkataan yang sedang nenek catat, adalah pensil yang sedang nenek guna. Nenek berharap cucu akan menjadi seumpama pensil ini tatkala dewasa nanti"

Merasa hairan dengan tuturan neneknya itu, cucu itu tidak berkelip memandang akan pensil yang ditunjukkan oleh neneknya itu. Sekilas pandang, tiada bezanya dengan mana mana pensil yang sering dia gunakan selama ini.





Melihat cucunya yang sedang tajam mata memerhati dan terus telinga mendengar, nenek menyambung lagi, "Kehidupan ini banyak bergantung kepada kebolehupayaan kita melihat sesuatu dan kalau kita boleh meneladani 5 kualiti yang ada pada pensil, cucu akan sentiasa berdamai dengan diri, hidup harmoni di dunia dan berjaya mencapai banyak kejayaan dalam kehidupan."

"Kualiti pertama, cucu berupaya untuk mencapai Banyak kejayaan besar dalam kehidupan. Begitupun, jangan sesekali lupa kepada 'Tuhan' yang membimbing takdir kehidupan kita. Tuhan sentiasa ada untuk membimbing kita dengan rahmat dan kasih sayangnya. Kita boleh merancang perjalanan dalam kehidupan tetapi stiap kali kaki kita melangkah tentu saja dengan keizinanNya. Seumpama pensil yang akan hanya boleh menulis kalau ada tangan yang menggerakkanya".

"Kualiti kedua, sekarang dan bila bila pun, sebaik saja mata pensil tumpul, pensil perlu dipertajamkan dengan menggunakan "sharpener"(penajam pensil). Kebolehan pensil menahan sakit tatkala sedang ditajamkan, akan menjadikan pensil lebih tajam dan elok penulisan. Kebolehan mengharung dugaan dan cubaan dalam kehidupan akan menjadikan cucu seorang insan yang sentiasa lebih baik pada masa depan".






"Kualiti ketiga, pensil sentiasa ada kawan kedua yang bernama "eraser" (pemadam). Eraser akan bertindak segera memadamkan kesalahan yang ada. Kehidupan ini penuh liku dan simpang. Memperbetulkan keadaan, memadam kesilapan bukan kesalahan. Ia sekadar memudahkan kita mencari jalan lurus dalam kehidupan".


"Kualiti keempat, apa yang menjadikan pensil berguna bukanlah kayu luaran yang membentuk rupa wajah pensil, sebaliknya graphite di dalam pensil. Justeru itu dalam kehidupan wahai cucu ku, sentiasa beri tumpuan kepada isian dalaman. itulah hakikat yang inti dalam kehidupan".


"Akhirnya, kualiti kelima adalah pensil sentiasa meninggalkan catatan terindah yang sentiasa kekal untuk bacaan. Begitu juga kehidupan mu nanti wahai cucu ku.. setiap apa yang kita lakukan pasti meninggalkan bekas dan ingatan. Jadilah insan cemerlang yang meninggalkan tapak gemilang dalam kehidupan".



Sunday, November 15, 2009

SATU PERMULAAN SEMULA

Hampir 10 bulan tidak menulis dalam blog asal saya verbal intelligence, sehingga saya terlupa akan password.. Untuk itu saya perlu memulakan semula dalam blog baru, Ru Shang. Meminjam kata kata, William Shakespeare, " Bahagian terbaik daripada kebenaran ialah kebijaksanaan".

Benarlah hidup ini penuh dengan simpang dan liku. Terlalu banyak kejadian yang menduga. Ralph Waldo Emerson menyebut, kebijaksanaan dalam hidup ialah pemusatan (fokus), dan kebodohan adalah kekusutan fikiran. Justeru itu dalam tempoh 10 bulan lepas, saya lebih banyak memusatkan fikiran kepada beberapa perkara yang mendesak dalam kehidupan.

Barang siapa mempunyai jiwa harmoni, hidupnya teratur. Untuk itu dalam memperbetulkan keadaan perniagaan dan meluruskan kehidupan saya banyak berdiam seribu bahasa. Dalam tempoh 10 bulan lepas saya telah berkesempatan menjelajah 9 buah bandar dunia, London, Manchester, Birmingham, Liverpool, Bangkok, Pattaya, Jakarta, Bandung, Singapura dan InsyaAllah saya akan melengkapkan 3 buah bandar lagi sebelum 2010 menjelma menjadikan 12 bandar dunia setiap tahun... PENGEMBARA DUNIA.

Membaca buku sepanjang masa, tilawatil Quran antara maghrib dan Isya dan tahajud serta munajat selepas tengah malam adalah ubat mujarab dalam kehidupan. Dalam tempoh 10 bulan lepas, saya berkesempatan membaca lebih dari 100 buah buku. Menyelak helaian The Kite Runner nukilan Khaled Hosseini, membaca kebijaksanaan Paulo Coelho dalam bukunya Like the Flowing River, menatap halaman catatan pengalaman Jiang Rong dalam Wolf Totem, serta membaca buku dan mendengar kuliah Martin Jacques lewat bukunya When China Rules the World, the rise of the middle kingdom and the end of the western world, adalah bagai menikmati keajaiban-keajaiban dunia. Buku adalah teman yang amat luas... PEMBACA BUKU.

Sepanjang 10 bulan lepas saya berkesempatan menonton 40 buah filem. Filem Rocky the Final, The Founding of a Republic, Ip Man, Revolutionary Road, Mongol, Slumdog Millionaire serta Papadom Afdlin Shauki dan tentu saja siri True Blood antara yang meninggalkan kesan dalam mengkayakan sudut pandang kehidupan. Hendak belajar berenang dapatkan itik. Hendak belajar memanjat dapatkan tupai... PENONTON FILEM.

Kenapa bola. Kerana inilah permainan yang ada gol. Keghairahan pada bola kembali menjelma bila Red Warrior di bawah pimpinan Tan Sri Annuar Musa kembali ke persada utama dalam bolasepak negara. Pada tahun ini saya berkesempatan menonton bola di Old Trafford stadium disamping ke Anfield stadium. Bolasepak bermula sebagai 'cugu' di era Warring state di China sejak 2300 tahun dulu. Pada waktu itu tiada gol. Mereka berebut menyepak bola ke dalam lubang... PENGAMAT BOLA.

Umar AlKhattab menjelaskan "Janganlah kamu hanya berdoa, 'Ya ALLAH, Ya Tuhanku! Anugerah lah hamba mu rezeki!' Sesungguhnya kamu harus mengerti bahawa langit itu tidak menurunkan hujan emas dan perak". Belajar berusaha dan menanti. Takut mengejar bagaimana hendak berlari. Orang tidak letih berusaha akan berjaya. Tiada kesenangan yang lebih besar dari bekerja. Orang bijaksana membuktikan dahulu pekerjaannya sebelum membicarakannya.... PENGUSAHA NIAGA.

Sepanjang 10 bulan ini sempat saya menyaksikan anak-anak membesar di depan mata. Anak yang menjadikan bapanya gembira. Seperti kata peribahasa Acheh,"Sayang kepada anak, pimpinlah baik-baik, sayang kepada orang tua, jagalah baik-baik"... KETUA KELUARGA.

Blog ini dimulakan semula kerana saya percaya janggut tidak pernah menjadi ukuran kebijaksanaan sebenar. Orang yang dilahirkan buta tidak akan percayakan cahaya. Si bodoh tidak akan dapat melihat pokok persoalan yang dilihat oleh orang bijak. Begitu juga jika yang berkuasa itu tidak ada telinga untuk mendengar, ia tidak ada kepala untuk memerintah.


Sejarah menjadikan orang bijaksana. Sajak-sajak mempertajamkan fikiran. Falsafah membuatkan kita mendalami sesuatu. Moral menjadikan kita serious. Logik akan membantu kita mempengaruhi orang lain. Bersandarkan semua ini, blog ini dimulakan. Amir Shakib Arselan menulis, " Manusia yang hidup mesti berjuang, kalau tidak dengan senjata, berjuanglah dengan pena".