Tuesday, December 1, 2009

MAKANAN

Makanan sentiasa menjadi topik menarik untuk diperbincangkan. Manusia berbincang, hari ini mahu makan apa, mahu makan di mana dan terkadang mahu makan siapa? Petang tadi saya melihat dalam Facebook, seorang rakan Profesor Alias Abdullah mengutarakan pertanyaan, bilakah waktunya kita makan paling banyak, sarapan, minum pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam atau minum larut malam? Dalam tempoh 50 minit, ada 26 maklum balas rakan rakan lain memberikan jawapan masing masing.

Semasa saya dalam tingkatan satu di mrsm dulu, seorang teman yang kami panggil Pau selalu bertanya, makan untuk hidup atau hidup untuk makan? Bukan main susah, kami hendak menjawab soalan yang begini mudah. Nama pun budak budak 13 tahun. Berdebat sakan kami membincangkan tajuk ini. Saya kurang ingat kelompok 'makan untuk hidup' atau 'hidup untuk makan' yang menang. Apa yang kekal dalam ingatan sampai bila bila adalah makan nasi kawah mrsm.

Sebagai orang Islam kita dingatkan yang kerap membawa celaka kepada anak Adam ialah bagaimana mereka mengisi perutnya. Kalau anak anak Adam hendak selamat bagi tiga perut: sebahagian untuk makan, sebahagian untuk minum dan sebahagian lagi untuk memikirkan akan perihal diri. Kita juga diingatkan untuk mengelak daripada menjadi hamba perut, tetapi menyaksikan saudara mara makan tatkala musim hari raya yang lepas, saya fikir mereka sedang membahayakan tubuh badan dan kesihatan jangka panjang... tetapi tarikan 'masakan perkakas dalam lembu korban' begitu kuat.

Seorang teman pakar pemakanan menasihatkan saya makan perlahan, mengunyah puluhan kali sebelum menelan makanan. Dia memberitahu makan separuh dari biasa, tidur 2 kali lebih lama, minum air kosong 3 kali lebih banyak dan senyum 4 kali lebih dari kebiasaan. Sesungguhnya dengan amalan ini, kita akan menjadi 10 tahun lebih muda dari umur sebenar.

Saya pula memberitahu beliau, membaca buku buku dan menonton filem menjadi makanan minda, membaca Quran, menonton teater, belanja teman teman makan, mendengar muzik adalah makanan jiwa, berpidato membolehkan kita meluahkan perkataan, menonton bola membolehkan kita bertepuk dan bersorak meluahkan perasaan, exercise dalam gym, berlari marathon dan mendaki gunung membolehkan kita sihat fizikal dan sekali sehari makan makanan tersedap menjadikan kita merasa nikmat rasa yang tiada taranya.

Seorang lagi teman bertanya agar saya memberikan beberapa tempat makanan yang biasa saya kunjungi. Saya menjawab mudah : kedai kopi White House Kota Bharu.. telor separuh masaknya tiada yang sebanding dengannya dalam seluruh gugusan nusantara Melayu ini...Nasi kerabu Pasir Pekan..inilah nasi kerabu original pada saya, 4 seasons Lundang..sayangnya sudah ditutup kerana berbalah kongsi, Murtabak Kadok di kawasan saya, Restoran Baroh di Kadok.. daging kerutup yang tersedap di mayapada ini, Little Penangs.. nasinya dan red rubby.., Nasi kandar Kudu di jalan TAR..beratur nak ambil makanan, Ikan bakar belakang Istana Negara.. tiada yang seumpamanya, Nasi Kandar Line Cear Penang, Char Kway Teow Old Man Lim Pulau Tikus Penang, Roti Canai Seri Melor Jaya SS19 Subang Jaya.., Naan dan tandoori di Sri Rampai.. alangkah lembutnya roti naan di situ dan tentu saja semua yang ada dalam menu Old Town White Coffee..




Peribahasa Melayu ada menyebut, "makan boleh sebarang makan, cakap jangan sebarang cakap"...saya rasa makan pun tak boleh sebarang makan kerana makanan yang dimakan itu amat berpengaruh dalam jiwa dan sikap. Makanan juga menentukan kehalusan atau kekerasan budi seseorang. Abu Sulaiman Ad Darani dalam kebijaksanaannya menukilkan kata kata indah penuh pengertian, "Sesungguhnya tatkala aku suapkan sesuap makanan kepada temanku, maka aku memperolehi rasanya dalam halkumku"

Catatan akhir: pada buku nota harian saya 25 tahun lepas ada saya catatkan.. "Tuhan telah menyediakan makanan bagi tiap tiap burung, tetapi makanan itu tidak diletakkan dalam sarangnya"... Berdasarkan catatan itu, rasanya saya keluar bekerja setiap hari, bagi mencari 'makanan'