Sunday, November 29, 2009

EID - e -QORBAN



Paulo Coelho dalam kebijaksanaannya menulis "la gente no ve el mundo como es, sincomo elloson "- people see the world, not as it as, but as they are.

Bandar Kota Bharu, seperti tahun tahun sebelumnya amat meriah ketika musim hari raya. Medan Tuan Padang atau juga di kenali sebagai bulatan jam besar sibuk dengan kenderaan pelbagai jenis, bertali arus menuju bandar. 5 hari sebelum raya, di waktu petang di remang senja tatkala saya mengambil gambar Medan Tuan Padang, ianya masih sepi.




Medan Tuan Padang kelihatan cantik, gah dan meyakinkan. Seorang kawan, kontraktor yang menyiapkan projek mencantikkan Medan Tuan Padang memberitahu hampir sejuta ringgit dibelanjakan untuk menceriakan semula rupa wajah pudar bulatan itu. Projek itu menggunakan duit persekutuan.



Masa di bandar Kota Bharu berjalan dalam keheningan dan ketenteraman. Lambat dan merangkak. Tatkala petang, matahari sudah hampir terbenam, menyemburatkan warna merah di sela sela bangunan bangunan tua di bandar Kota Bharu. Ketika hampir malam menjelma, saya berada di depan pasaraya Parkson. Giant pun telah ada di Kota Bharu. Apakah kebanjiran pasaraya besar ini tandanya kemajuan. Kalau bandaraya Islam pun sekadar meniru kota kota besar, maka apa ciri sebenar sebuah bandaraya Islam. Jalan ditutup, dibuka semula. Setiap jalan dibuka agar aliran kereta menemui Parkson. Milik siapakah bangunan Kota Bharu Trade Centre yang menempatkan pasaraya Parkson ini?

Ahh.. kita tinggalkan semua itu. Eid-ul Adha telah menjelma kembali. Perantau pulang ke pangkuan Kota Bharu, menatap kampong halaman yang telah lama ditinggalkan. Semua ore klate akan merasa aman dan tenteram setiap kali berpijak di atas tanah leluhurnya. Kota Bharu seperti selalunya akan mengalun lagu lama, penuh ceritera. Beritahu seorang teman, "ore klate seumpama kaum Pashtun. Mereka keras kepala dan sangat bangga diri. Tetapi di saat kita memerlukan teman, yakinlah bahawa tidak ada orang lain yang lebih tepat berada di sisi, selain dari ore klate".



Hari ini hari raya ketiga. Tatkala teman teman dalam Facebook bercakap tentang menonton movie kala kesempatan cuti hari raya, mencuba makanan biasa, kerja yang pelbagai, kami di Kelantan masih berhari raya, dan tersangat mewah dengan daging dan daging. Hari raya korban bagi ore klate tidak sah tanpa korban. Lembu mesti tumbang. Bagaikan ada sesuatu yang hilang dalam maruah dan harga diri mereka, kalau berkemampuan, tetapi tidak korban lembu, sekurang kurangnya satu pertujuh dari seekor lembu. Itulah ore klate, letakkan 2 ore klate yang tidak saling mengenali dalam satu ruangan dan tunggu selama 10 minit, mereka akan bertitih waris dan tak lama kemudian akan mula dapat menemukan perkaitan hubungan antara mereka.

Hari ini hampir 30 ekor lembu lagi tumbang di dataran KADA, Ketereh. Korban Perdana anjuran Tan Sri Annuar - KADA dan KAFA. 3000 'supit' daging dibahagi bahagikan kepada orang miskin tegar, miskin dan mudah miskin. Setelah dewasa baru saya tahu, miskin ini banyak kategorinya. Dulu semasa kecil, kami sekeluarga sentiasa diberitahu oleh ummi kami, agar sentiasa ceria, optimis akan hari esok dan akhirnya kalau rajin berusaha akan berjaya. Samoga ummi menikmati kebahagiaan kekal abadi di perkuburan. Betapa didikan dan bisik kata ummi
kekal tersemat dalam jiwa.


Esok, barangkali siri terakhir korban lembu yang saya perlu hadiri. Sepupu Brig Jeneral Dato Khlir Mohd Noor akan menamatkan dengan menyembelih seekor lagi lembu korban. Huh.. 3 hari berturut turut makan nasi 5 kali sehari, sesuatu yang tidak pernah saya lakukan sejak sekian lama, kerana saya hanya akan makan nasi sekali saja sehari. Tarikan daging bakar, daging dicecah kicap, air asam perut, sup gear box, singgan daging, kerabu perut dan pelbagai lagi bagaikan magnet yang menarik untuk makan dan makan. Teringat slogan tak rasmi pejabat Dato Seri Anwar Ibrahim tatkala dia jadi Timbalan Perdana Menteri dulu... no alcohol, no protocol, no cholestrol.. cholestrol oh cholestrol.


Kelantan nyata begitu berbeza dengan Kuala Lumpur, kerana Kuala Lumpur adalah bagaikan sungai, mengalir deras tanpa perlu memedulikan masa silam. Dan sungai itu bagaikan arus yang akan membawa kita kesatu tempat yang jauh, suatu tempat yang tidak begitu banyak kenangan dan tempat yang memungkinkan kita berdiri tegak menjengok dunia global. Sesekali memandang KLCC dari jendela pejabat, saya bagaikan melihat hari esok yang optimis. KLCC telah menyuntik optimisme yang membuatkan Malaysia berada pada tahap sekarang.

Hari ini adalah hari terakhir dari 3 hari perayaan idul adha atau eid-e-qorban, begitulah yang disebut oleh generasi baru Kelantan, peristiwa nabi Ibrahim yang secara jujur dan ikhlas bersanggupan menurut perintah Tuhan untuk menyembelih anaknya yang patuh nabi Ismail. Sesuai dengan ingatan sejarah pengorbanan dua beranak Rasul pilihan ini, ditambah dengan kesabaran Siti Hajar, setiap bahagian dari daging korban selalunya dibahagi 3 bagian pula, satu bagian untuk keluarga, satu bagian untuk fakir miskin dan satu bagian untuk jiran tetangga. Kalaulah begitu kehidupan seharian, alangkah sempurnanya kehidupan insan... "barangsiapa yang ingin rezekinya meluas dan umurnya berbekas, hubungkanlah silaturahim"...

Ore klate yang tinggal di Kelantan selalu melankolis, mungkin kerana terlalu lama berkubang dalam kelompok sendiri, mudah menyerah pada keadaan.

Hari ini sewaktu berputar di sekitar bandar, terlihat monumen bank pitis tinggalan warisan sejarah Kelantan tahun 30an, istana Jahar dan Balai Besar, kedai kopi white house yang sentiasa ditutup sejak akhir akhir ini...

dan.. terlihat beberapa bangunan yang khabarnya turut terseret dalam kontroversi panas antara Dato Husam-Kickdefella- Ariffahmi-Nik Amalina - Nik Abduh. Semua ini membuatkan kita terfikir, "ingin hati melihat pulau, sampan ada pengayuh tiada "..

Saat malam menjelang tiba, eid-e-qorban hampir berakhir, teringat lagu ahesta boro yang dikisahkan oleh Khaled Hosseini dalam The Kite Runner.. "Ubah pagi hari ini menjadi kunci dan buanglah kedalam sumur, Jangan terburu buru, BULANku tersayang, jangan buru buru. Jangan ingatkan matahari pagi untuk terbit di ufuk timor, Jangan buru buru, BULAN ku tersayang, jangan buru buru..."

1 comment: