Hampir 10 bulan tidak menulis dalam blog asal saya verbal intelligence, sehingga saya terlupa akan password.. Untuk itu saya perlu memulakan semula dalam blog baru, Ru Shang. Meminjam kata kata, William Shakespeare, " Bahagian terbaik daripada kebenaran ialah kebijaksanaan".
Benarlah hidup ini penuh dengan simpang dan liku. Terlalu banyak kejadian yang menduga. Ralph Waldo Emerson menyebut, kebijaksanaan dalam hidup ialah pemusatan (fokus), dan kebodohan adalah kekusutan fikiran. Justeru itu dalam tempoh 10 bulan lepas, saya lebih banyak memusatkan fikiran kepada beberapa perkara yang mendesak dalam kehidupan.
Barang siapa mempunyai jiwa harmoni, hidupnya teratur. Untuk itu dalam memperbetulkan keadaan perniagaan dan meluruskan kehidupan saya banyak berdiam seribu bahasa. Dalam tempoh 10 bulan lepas saya telah berkesempatan menjelajah 9 buah bandar dunia, London, Manchester, Birmingham, Liverpool, Bangkok, Pattaya, Jakarta, Bandung, Singapura dan InsyaAllah saya akan melengkapkan 3 buah bandar lagi sebelum 2010 menjelma menjadikan 12 bandar dunia setiap tahun... PENGEMBARA DUNIA.
Membaca buku sepanjang masa, tilawatil Quran antara maghrib dan Isya dan tahajud serta munajat selepas tengah malam adalah ubat mujarab dalam kehidupan. Dalam tempoh 10 bulan lepas, saya berkesempatan membaca lebih dari 100 buah buku. Menyelak helaian The Kite Runner nukilan Khaled Hosseini, membaca kebijaksanaan Paulo Coelho dalam bukunya Like the Flowing River, menatap halaman catatan pengalaman Jiang Rong dalam Wolf Totem, serta membaca buku dan mendengar kuliah Martin Jacques lewat bukunya When China Rules the World, the rise of the middle kingdom and the end of the western world, adalah bagai menikmati keajaiban-keajaiban dunia. Buku adalah teman yang amat luas... PEMBACA BUKU.
Sepanjang 10 bulan lepas saya berkesempatan menonton 40 buah filem. Filem Rocky the Final, The Founding of a Republic, Ip Man, Revolutionary Road, Mongol, Slumdog Millionaire serta Papadom Afdlin Shauki dan tentu saja siri True Blood antara yang meninggalkan kesan dalam mengkayakan sudut pandang kehidupan. Hendak belajar berenang dapatkan itik. Hendak belajar memanjat dapatkan tupai... PENONTON FILEM.
Kenapa bola. Kerana inilah permainan yang ada gol. Keghairahan pada bola kembali menjelma bila Red Warrior di bawah pimpinan Tan Sri Annuar Musa kembali ke persada utama dalam bolasepak negara. Pada tahun ini saya berkesempatan menonton bola di Old Trafford stadium disamping ke Anfield stadium. Bolasepak bermula sebagai 'cugu' di era Warring state di China sejak 2300 tahun dulu. Pada waktu itu tiada gol. Mereka berebut menyepak bola ke dalam lubang... PENGAMAT BOLA.
Umar AlKhattab menjelaskan "Janganlah kamu hanya berdoa, 'Ya ALLAH, Ya Tuhanku! Anugerah lah hamba mu rezeki!' Sesungguhnya kamu harus mengerti bahawa langit itu tidak menurunkan hujan emas dan perak". Belajar berusaha dan menanti. Takut mengejar bagaimana hendak berlari. Orang tidak letih berusaha akan berjaya. Tiada kesenangan yang lebih besar dari bekerja. Orang bijaksana membuktikan dahulu pekerjaannya sebelum membicarakannya.... PENGUSAHA NIAGA.
Sepanjang 10 bulan ini sempat saya menyaksikan anak-anak membesar di depan mata. Anak yang menjadikan bapanya gembira. Seperti kata peribahasa Acheh,"Sayang kepada anak, pimpinlah baik-baik, sayang kepada orang tua, jagalah baik-baik"... KETUA KELUARGA.
Blog ini dimulakan semula kerana saya percaya janggut tidak pernah menjadi ukuran kebijaksanaan sebenar. Orang yang dilahirkan buta tidak akan percayakan cahaya. Si bodoh tidak akan dapat melihat pokok persoalan yang dilihat oleh orang bijak. Begitu juga jika yang berkuasa itu tidak ada telinga untuk mendengar, ia tidak ada kepala untuk memerintah.
Sejarah menjadikan orang bijaksana. Sajak-sajak mempertajamkan fikiran. Falsafah membuatkan kita mendalami sesuatu. Moral menjadikan kita serious. Logik akan membantu kita mempengaruhi orang lain. Bersandarkan semua ini, blog ini dimulakan. Amir Shakib Arselan menulis, " Manusia yang hidup mesti berjuang, kalau tidak dengan senjata, berjuanglah dengan pena".
No comments:
Post a Comment