Monday, April 12, 2010

SUARA BATIN YANG MURNI

  1. Hampir 5 bulan tidak menulis dalam blog sendiri. Teman lama sejak di MRSM Nik Hasyudeen bertanya kenapa?...Bella, pelajar yang memperolehi 4.0 dalam peperiksaannya di UiTM juga bertanya, apa sudah jadi?. Saya sendiri tidak dapat menjawab, kerana mahu dikatakan sibuk, semua orang yang meletakkan dirinya dalam "Gold Digger" community akan merasa sibuk. Komuniti pelombong emas yang saya maksudkan adalah mereka yang tidak akan nenghabiskan masa dan usaha bercakap dengan sesiapa, sekiranya dia merasakan tidak akan memperolehi apa apa...
  2. Tentu sahaja, saya tidak akan merasa diri terjebak dalam komuniti seumpama itu. Mana mungkin. Saya seorang anak kampong yang biasa tinggal di teratak buruk dari daerah terpencil yang terasuh dengan nilai nilai yang berjarak dengan segala glamour gemerlap "Gold Digger" community, dapat menyebati diri dengan mereka.
  3. Saya berdiam, sekadar membetuli haluan diri. Seusia 45 tahun membuatkan saya banyak menimbang kepada ingatan ramah mesra teman sebaya sesekali melihat masa depan dengan penuh pengertian. Menekuni falsafah sebagai penjelasan hidup, membaca karya karya agong sebagai penerokaan hidup, mengembara dan melihat dunia bagi menambah kaya pengalaman hidup, mempelajari dan mengkhatami semula Quran sebagai intisari hidup dan melakukan ibadah sebagai pegangan hidup..
  4. Semua ini penting sebagai pati hidup yang bernilai kerana hidup yng diisi dengan kesungguhan kerja dan amalan mulia adalah hidup yang bermakna. Bijakpandai selalu mengingatkan, ada 2 hal utama yang ingin dicapai dalam hidup; mendapatkan apa yang kita inginkan dan menikmatinya. Hanya orang bijak yang berjaya mencapai tujuan kedua...
  5. Saya telah melengkapkan senarai 100 perkara yang saya mahu dan akan lakukan sebelum usia 60 tahun...InsyaAllah pembetulan haluan ini pastinya menurut suara batin yang murni dan ianya memberikan kesenangan batin yang tiada taranya kepada saya dan keluarga..Alhamdulillah.

Tuesday, December 1, 2009

MAKANAN

Makanan sentiasa menjadi topik menarik untuk diperbincangkan. Manusia berbincang, hari ini mahu makan apa, mahu makan di mana dan terkadang mahu makan siapa? Petang tadi saya melihat dalam Facebook, seorang rakan Profesor Alias Abdullah mengutarakan pertanyaan, bilakah waktunya kita makan paling banyak, sarapan, minum pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam atau minum larut malam? Dalam tempoh 50 minit, ada 26 maklum balas rakan rakan lain memberikan jawapan masing masing.

Semasa saya dalam tingkatan satu di mrsm dulu, seorang teman yang kami panggil Pau selalu bertanya, makan untuk hidup atau hidup untuk makan? Bukan main susah, kami hendak menjawab soalan yang begini mudah. Nama pun budak budak 13 tahun. Berdebat sakan kami membincangkan tajuk ini. Saya kurang ingat kelompok 'makan untuk hidup' atau 'hidup untuk makan' yang menang. Apa yang kekal dalam ingatan sampai bila bila adalah makan nasi kawah mrsm.

Sebagai orang Islam kita dingatkan yang kerap membawa celaka kepada anak Adam ialah bagaimana mereka mengisi perutnya. Kalau anak anak Adam hendak selamat bagi tiga perut: sebahagian untuk makan, sebahagian untuk minum dan sebahagian lagi untuk memikirkan akan perihal diri. Kita juga diingatkan untuk mengelak daripada menjadi hamba perut, tetapi menyaksikan saudara mara makan tatkala musim hari raya yang lepas, saya fikir mereka sedang membahayakan tubuh badan dan kesihatan jangka panjang... tetapi tarikan 'masakan perkakas dalam lembu korban' begitu kuat.

Seorang teman pakar pemakanan menasihatkan saya makan perlahan, mengunyah puluhan kali sebelum menelan makanan. Dia memberitahu makan separuh dari biasa, tidur 2 kali lebih lama, minum air kosong 3 kali lebih banyak dan senyum 4 kali lebih dari kebiasaan. Sesungguhnya dengan amalan ini, kita akan menjadi 10 tahun lebih muda dari umur sebenar.

Saya pula memberitahu beliau, membaca buku buku dan menonton filem menjadi makanan minda, membaca Quran, menonton teater, belanja teman teman makan, mendengar muzik adalah makanan jiwa, berpidato membolehkan kita meluahkan perkataan, menonton bola membolehkan kita bertepuk dan bersorak meluahkan perasaan, exercise dalam gym, berlari marathon dan mendaki gunung membolehkan kita sihat fizikal dan sekali sehari makan makanan tersedap menjadikan kita merasa nikmat rasa yang tiada taranya.

Seorang lagi teman bertanya agar saya memberikan beberapa tempat makanan yang biasa saya kunjungi. Saya menjawab mudah : kedai kopi White House Kota Bharu.. telor separuh masaknya tiada yang sebanding dengannya dalam seluruh gugusan nusantara Melayu ini...Nasi kerabu Pasir Pekan..inilah nasi kerabu original pada saya, 4 seasons Lundang..sayangnya sudah ditutup kerana berbalah kongsi, Murtabak Kadok di kawasan saya, Restoran Baroh di Kadok.. daging kerutup yang tersedap di mayapada ini, Little Penangs.. nasinya dan red rubby.., Nasi kandar Kudu di jalan TAR..beratur nak ambil makanan, Ikan bakar belakang Istana Negara.. tiada yang seumpamanya, Nasi Kandar Line Cear Penang, Char Kway Teow Old Man Lim Pulau Tikus Penang, Roti Canai Seri Melor Jaya SS19 Subang Jaya.., Naan dan tandoori di Sri Rampai.. alangkah lembutnya roti naan di situ dan tentu saja semua yang ada dalam menu Old Town White Coffee..




Peribahasa Melayu ada menyebut, "makan boleh sebarang makan, cakap jangan sebarang cakap"...saya rasa makan pun tak boleh sebarang makan kerana makanan yang dimakan itu amat berpengaruh dalam jiwa dan sikap. Makanan juga menentukan kehalusan atau kekerasan budi seseorang. Abu Sulaiman Ad Darani dalam kebijaksanaannya menukilkan kata kata indah penuh pengertian, "Sesungguhnya tatkala aku suapkan sesuap makanan kepada temanku, maka aku memperolehi rasanya dalam halkumku"

Catatan akhir: pada buku nota harian saya 25 tahun lepas ada saya catatkan.. "Tuhan telah menyediakan makanan bagi tiap tiap burung, tetapi makanan itu tidak diletakkan dalam sarangnya"... Berdasarkan catatan itu, rasanya saya keluar bekerja setiap hari, bagi mencari 'makanan'

Monday, November 30, 2009

TDS-EQ

Pagi ini ke kedai gunting rambut Nawi. Saya telah menggunting rambut dengan Pak Nawi sejak saya masih belajar di MRSM Pengkalan Chepa lagi. Pak Nawi sekarang telah berumur hampir 70 tahun. Beliau adalah juara pertandingan menggunting rambut seluruh Thailand pada tahun 70an dan dianggap sifu dalam kerjaya menggunting rambut. Bayaran sekali menggunting plus cuci rambut dan cuci telinga hanyalah rm20 sahaja. Lebih penting banyak 'petua petua' tertentu yang boleh saya dengari dari Pak Nawi selama 2 jam beliau menyelesaikan 3 perkara gunting dan cuci tadi. Dalam kata lain, I learned some real good lessons in the barbershop.

Kehidupan ini sememangnya begitu, kita belajar di mana mana dan dengan sesiapa sahaja jua. Di alam yang bebas merdeka ini,terlalu banyak dugaan yang perlu dilalui. Berbekalkan 'training,discipline and strategy' (TDS) kita akan mampu menempuh ke gerbang jaya. TDS itu bermaksud bertatatertib memaksa diri membina kekuatan dengan menunaikan segala kewajipan yang perlu bagi mencapai matlamat yang diimpikan. Setiap hak mengandungi tanggungjawab, setiap kesempatan suatu kewajipan dan setiap kekayaan suatu pengabdian. "Seseorang yang memikul kayu di belakangnya untuk dijual, lebih baik daripada ia meminta minta yang belum tentu orang hendak memberinya" (maksud hadis)

Saya banyak belajar dalam kehidupan ini, "Jangan berhenti berjalan setiap kali mendengar anjing menyalak". Tekun terhadap kewajipan dan membiarkan umpat keji orang adalah jawapan terbaik terhadap fitnah. Ada kalanya kemenangan terbesar adalah dengan jalan mengalah, berundur selangkah, menentu arah, bersama mesyuarah sebelum bergerak lebih terserlah demi masa depan yang lebih cerah. Percubaan percubaan yang lebih besar dalam kehidupan seringkali hadir sebagai persiapan yang diperlukan bagi mempersiapkan kita untuk melakukan perkara yang lebih besar pada masa depan. Orang berhajatkan ros, hendaklah mengambil durinya.

Saya sangat sukakan gambar di atas. Asalnya di ambil dari iklan Singapore International Airlines (SIA). Gambar antara Singa dan Rusa. Setiap kali bangun pagi, Singa akan berkata kepada dirinya, hari ini aku perlu berlari laju bagi menangkap mangsa. Rusa juga, setiap kali bangun pagi akan berkata kepada dirinya, aku perlu berlari lebih laju lagi agar tidak ditangkap pemangsa. Gambar ini mengajar saya untuk ' recognize the huge resorvoir of energy, enthusiasm and strength' yang dipunyai oleh setiap orang daripada kita. Gambar ini mengajar saya agar sentiasa bangun dan berlari. Takut mengejar bagaimana hendak berlari.

Keyakinan, kemahiran, motivasi dan pilihan untuk berjaya adalah formula yang saya pelajari dalam mengejar matlamat. Beberapa minggu lepas saya mengambil ujian EQ. Markah saya adalah 152. Saya tidak bermaksud bangga diri. Barang dijauhkan sifat seumpama itu. Tetapi bila markah EQ seumpama itu, saya fikir latihan dan percubaan yang saya lalui selama ini berbekas. Antara komen yang saya dapati terhadap diri saya tentang capaian itu.. "seriously though, your whole 'don't worry, be happy ' philosophy is really what defines emotional intelligence. You are warm, open and very optimistic. You know how to act approriately, even if you don't feel like it. You are a good communicator and you have little difficulty with personal relationships - even when you are dealing with difficult people. In general, you are successful, capable, together person. You got what you want out of life "... Alhamdulillah..

Selalunya segala halangan adalah sekadar mental obstacles semata mata. Saya amat percayakan betapa "orang tidak letih berusaha akan berjaya". Tiada kesenangan yang lebih besar dari bekerja. Kebijaksanaan Benjamin Franklin mengingatkan, "Orang yang mempunyai pekerjaan, ia mempunyai kekayaan". Saya bertekad akan bekerja sehingga ke akhir hayat. 'Allah SWT amat menyukai orang orang Mukmin yang mempunyai pekerjaan ' (maksud hadis)

Sunday, November 29, 2009

EID - e -QORBAN



Paulo Coelho dalam kebijaksanaannya menulis "la gente no ve el mundo como es, sincomo elloson "- people see the world, not as it as, but as they are.

Bandar Kota Bharu, seperti tahun tahun sebelumnya amat meriah ketika musim hari raya. Medan Tuan Padang atau juga di kenali sebagai bulatan jam besar sibuk dengan kenderaan pelbagai jenis, bertali arus menuju bandar. 5 hari sebelum raya, di waktu petang di remang senja tatkala saya mengambil gambar Medan Tuan Padang, ianya masih sepi.




Medan Tuan Padang kelihatan cantik, gah dan meyakinkan. Seorang kawan, kontraktor yang menyiapkan projek mencantikkan Medan Tuan Padang memberitahu hampir sejuta ringgit dibelanjakan untuk menceriakan semula rupa wajah pudar bulatan itu. Projek itu menggunakan duit persekutuan.



Masa di bandar Kota Bharu berjalan dalam keheningan dan ketenteraman. Lambat dan merangkak. Tatkala petang, matahari sudah hampir terbenam, menyemburatkan warna merah di sela sela bangunan bangunan tua di bandar Kota Bharu. Ketika hampir malam menjelma, saya berada di depan pasaraya Parkson. Giant pun telah ada di Kota Bharu. Apakah kebanjiran pasaraya besar ini tandanya kemajuan. Kalau bandaraya Islam pun sekadar meniru kota kota besar, maka apa ciri sebenar sebuah bandaraya Islam. Jalan ditutup, dibuka semula. Setiap jalan dibuka agar aliran kereta menemui Parkson. Milik siapakah bangunan Kota Bharu Trade Centre yang menempatkan pasaraya Parkson ini?

Ahh.. kita tinggalkan semua itu. Eid-ul Adha telah menjelma kembali. Perantau pulang ke pangkuan Kota Bharu, menatap kampong halaman yang telah lama ditinggalkan. Semua ore klate akan merasa aman dan tenteram setiap kali berpijak di atas tanah leluhurnya. Kota Bharu seperti selalunya akan mengalun lagu lama, penuh ceritera. Beritahu seorang teman, "ore klate seumpama kaum Pashtun. Mereka keras kepala dan sangat bangga diri. Tetapi di saat kita memerlukan teman, yakinlah bahawa tidak ada orang lain yang lebih tepat berada di sisi, selain dari ore klate".



Hari ini hari raya ketiga. Tatkala teman teman dalam Facebook bercakap tentang menonton movie kala kesempatan cuti hari raya, mencuba makanan biasa, kerja yang pelbagai, kami di Kelantan masih berhari raya, dan tersangat mewah dengan daging dan daging. Hari raya korban bagi ore klate tidak sah tanpa korban. Lembu mesti tumbang. Bagaikan ada sesuatu yang hilang dalam maruah dan harga diri mereka, kalau berkemampuan, tetapi tidak korban lembu, sekurang kurangnya satu pertujuh dari seekor lembu. Itulah ore klate, letakkan 2 ore klate yang tidak saling mengenali dalam satu ruangan dan tunggu selama 10 minit, mereka akan bertitih waris dan tak lama kemudian akan mula dapat menemukan perkaitan hubungan antara mereka.

Hari ini hampir 30 ekor lembu lagi tumbang di dataran KADA, Ketereh. Korban Perdana anjuran Tan Sri Annuar - KADA dan KAFA. 3000 'supit' daging dibahagi bahagikan kepada orang miskin tegar, miskin dan mudah miskin. Setelah dewasa baru saya tahu, miskin ini banyak kategorinya. Dulu semasa kecil, kami sekeluarga sentiasa diberitahu oleh ummi kami, agar sentiasa ceria, optimis akan hari esok dan akhirnya kalau rajin berusaha akan berjaya. Samoga ummi menikmati kebahagiaan kekal abadi di perkuburan. Betapa didikan dan bisik kata ummi
kekal tersemat dalam jiwa.


Esok, barangkali siri terakhir korban lembu yang saya perlu hadiri. Sepupu Brig Jeneral Dato Khlir Mohd Noor akan menamatkan dengan menyembelih seekor lagi lembu korban. Huh.. 3 hari berturut turut makan nasi 5 kali sehari, sesuatu yang tidak pernah saya lakukan sejak sekian lama, kerana saya hanya akan makan nasi sekali saja sehari. Tarikan daging bakar, daging dicecah kicap, air asam perut, sup gear box, singgan daging, kerabu perut dan pelbagai lagi bagaikan magnet yang menarik untuk makan dan makan. Teringat slogan tak rasmi pejabat Dato Seri Anwar Ibrahim tatkala dia jadi Timbalan Perdana Menteri dulu... no alcohol, no protocol, no cholestrol.. cholestrol oh cholestrol.


Kelantan nyata begitu berbeza dengan Kuala Lumpur, kerana Kuala Lumpur adalah bagaikan sungai, mengalir deras tanpa perlu memedulikan masa silam. Dan sungai itu bagaikan arus yang akan membawa kita kesatu tempat yang jauh, suatu tempat yang tidak begitu banyak kenangan dan tempat yang memungkinkan kita berdiri tegak menjengok dunia global. Sesekali memandang KLCC dari jendela pejabat, saya bagaikan melihat hari esok yang optimis. KLCC telah menyuntik optimisme yang membuatkan Malaysia berada pada tahap sekarang.

Hari ini adalah hari terakhir dari 3 hari perayaan idul adha atau eid-e-qorban, begitulah yang disebut oleh generasi baru Kelantan, peristiwa nabi Ibrahim yang secara jujur dan ikhlas bersanggupan menurut perintah Tuhan untuk menyembelih anaknya yang patuh nabi Ismail. Sesuai dengan ingatan sejarah pengorbanan dua beranak Rasul pilihan ini, ditambah dengan kesabaran Siti Hajar, setiap bahagian dari daging korban selalunya dibahagi 3 bagian pula, satu bagian untuk keluarga, satu bagian untuk fakir miskin dan satu bagian untuk jiran tetangga. Kalaulah begitu kehidupan seharian, alangkah sempurnanya kehidupan insan... "barangsiapa yang ingin rezekinya meluas dan umurnya berbekas, hubungkanlah silaturahim"...

Ore klate yang tinggal di Kelantan selalu melankolis, mungkin kerana terlalu lama berkubang dalam kelompok sendiri, mudah menyerah pada keadaan.

Hari ini sewaktu berputar di sekitar bandar, terlihat monumen bank pitis tinggalan warisan sejarah Kelantan tahun 30an, istana Jahar dan Balai Besar, kedai kopi white house yang sentiasa ditutup sejak akhir akhir ini...

dan.. terlihat beberapa bangunan yang khabarnya turut terseret dalam kontroversi panas antara Dato Husam-Kickdefella- Ariffahmi-Nik Amalina - Nik Abduh. Semua ini membuatkan kita terfikir, "ingin hati melihat pulau, sampan ada pengayuh tiada "..

Saat malam menjelang tiba, eid-e-qorban hampir berakhir, teringat lagu ahesta boro yang dikisahkan oleh Khaled Hosseini dalam The Kite Runner.. "Ubah pagi hari ini menjadi kunci dan buanglah kedalam sumur, Jangan terburu buru, BULANku tersayang, jangan buru buru. Jangan ingatkan matahari pagi untuk terbit di ufuk timor, Jangan buru buru, BULAN ku tersayang, jangan buru buru..."

MINDA CINA SIRI 3

Saya ditanyai kenapa begitu berminat tentang China dan orang Cina. Saya sekadar menyebut sedikit sahaja, berdasarkan projection yang telah dibuat oleh Goldman Sachs, dengan bilangan penduduk yang 4 kali ganda lebih besar dari USA dan pertumbuhan ekonomi dua angka (double digit growth), adalah dijangkakan menjelang 2027 China akan mengatasi USA sebagai kuasa ekonomi terbesar di dunia.



Justeru itu, meminjam kata kata Lao Zi, pengasas Taoism, "Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama" - qianli zhixing, shiyu zuxia. Langkah pertama dalam memahami minda Cina adalah dengan cuba memahami 5 elemen teras yang mendukung proses berfikir orang orang Cina. Pertama, bahasa Cina. Bahasa begitu mempengaruhi falsafah dan budaya Cina.

Kedua, Yin dan Yang- undang undang yang memberi keseimbangan kepada 2 aspek yang berlawanan. Ketiga, Chinese connectedness -mereka percaya betapa mereka adalah 'born connected', bukan 'born equal', keempat, kesederhanaan dan memilih jalan tengah dan kelima, mianzi (muka) - sesuatu yang lebih penting dari kehidupan itu sendiri. Kesemua 5 elemen teras ini saling berkaitan antara satu dengan yang lain dan ianya membentuk minda Cina.



Tatkala Bill Gates membuat lawatan pertamanya ke China untuk memasarkan Window Software pada tahun 1994, beliau telah berkesempatan bertemu dengan Presiden Jiang Zemin. Dalam pertemuan singkat itu, Jiang telah bercakap tentang tamadun China dan berkata kepada Gates yang dia seharusnya memahami bahasa dan budaya China bagi membolehkan Microsoft berkolaborasi secara lebih meluas lagi.

Tidak syak lagi, bahasa Cina amat mempengaruhi dalam membentuk Minda Cina. Sebilangan cendekiawan menyifatkan bahasa Cina sebagai 'extension of thoughts' dan 'carrier of nation's culture'. Rao Guanzhou dalam People's Daily online pada 16 Jun, 2006 telah menulis perkara yang serupa dengan tajuk 'analyzing Chinese from the Chinese Language'.

Alphabet Roman bersifat sound based. Characters dalam tulisan Cina pula lebih kepada simbolik dan meaning based. Kebanyakan dari character itu adalah pictorial atau sekurang kurangnya mempunyai simbol yang membawa maksud sesuatu. Setiap character akan ditulis dalam simbol persegi. dan mengandungi simbolik (makna) dan juga bunyi (penyebutan). Ada character tidak membawa maksud kecuali digabungkan dengan character yang lain dan ada juga character yang boleh membawa pelbagai maksud, bergantung kepada tone sebutan.

Penulisan bahasa Cina tidak berubah sejak beribu tahun lamanya kecuali pada tahun 1950an. Hasil dari perubahan itu, ujud 2 cara penulisan characters cCina, satu dipanggil jianti (simplified Chinese) yang digunakan di China, Singapura dan Malaysia. Satu lagi dipanggil fanti (traditional/standard Chinese) yang digunakan di Taiwan, Hong Kong dan orang Cina seberang laut yang lain. Secara keseluruhan terdapat 2236 character yang telah dipermudahkan sebagai jianti.

Bagaimana orang Cina belajar bahasa Cina. Terdapat lebih dari 40,000 characters yang diketahui hari ini. Seorang Cina biasa yang mendapat pendidikan menengah akan tahu menulis 1500 - 3000 characters, manakala seorang yang mendapat pendidikan lebih tinggi akan mengenal dan menguasai 5000 - 10,000 characters.

Di China, setiap pelajar akan belajar subjek wajib yang dipanggil yuwen - characters Cina yang bermaksud bahasa dan budaya. Mereka belajar dari peringkat tadika sehingga tamat sekolah menengah. Semasa di sekolah rendah, pelajar akan belajar beberapa characters setiap hari, kemudiannya mengulang sehingga hafal, di samping menambah bilangan kenal characters sepanjang 6 tahun menuntut di sekolah rendah.

Di peringkat sekolah menengah pula, belajar characters baru telah menjadi sebahagian dari aktiviti semasa membaca dan menulis. Membaca dan menulis pictorial characters dengan kepelbagaian tones bermakna seorang pelajar bahasa Cina akan banyak menggunakan otak kanan. Kajian saintifik yang dijalankan oleh University of Science and Technology of China menunjukkan pelajar bahasa Cina akan memanfaatkan sensitiviti pada otak kanan pada permulaan200 milliseconds untuk memproses perubahan nada dalam perkataan sebelum otak kiri memproses perkaitan makna perkataan tersebut.


Oleh kerana kebanyakan characters adalah berbentuk pictorial, maka ianya sangat memberi kesan kepada cara berfikir orang Cina. Selalunya mereka melihat sesuatu situasi atau isu perniagaan dalam big picture-complete sense. Ini kita panggil sebagai CST-singkatan dari intiusi ataupun boleh kita katakan EQ orang-orang Cina, sesuatu yang telah dimantapkan menerusi latihan dari satu generasi ke satu generasi berikutnya sejak beribu tahun lamanya.

Thursday, November 26, 2009

FACEBOOK



1. Saya ingin memulakan dengan meminjam kata kata Lord Afrebry, "sebahagian besar pangkal keberuntungan atau kecelakaan kita adalah kepandaian atau kesalahan kita memilih teman dalam pergaulan". Saya baru menyertai Facebook, hampir 2 minggu lepas. Dalam tempoh itu saya telah dapat berhubung semula dengan lebih dari 150 orang sahabat, sebilangan besar darinya adalah teman teman semasa di MRSM dahulu. Begitu cepat masa beredar, begitu pantas waktu berputar dan terlalu jauh rasanya jarak yang memisahkan.

2. Ramai dari teman mempunyai kerjaya di Kuala Lumpur, sebahagian bekerja di luar negara dan sebilangan lagi bertaburan di merata pelusuk negara. Tidak mungkin terjangkau dengan fikiran lama untuk bertemu semula, walaupun seketika, lantaran masing masing sibuk belaka, mencari rezeki menyara kelurga, membesarkan puteri dan putera dan ada pula sibuk mencipta nama, masyhur di persada negara.

3. Begitupun Facebook memungkinkan segala kemustahilan ini menjadi kenyataan. Sudah lama benar saya diingatkan oleh teman teman agar menyertai Facebook. Tetapi semua itu tidak berlaku, sehinggalah saya membaca buku Conneted, The Surprising Power of Our Social Networks and How They Shape Our Lives tulisan Nicholas A. Christakis (profesor medical sociology di Harvard Medical School ini tersenarai oleh Time Magazine sebagai 100 orang yang paling berpengaruh di dunia pada tahun 2009) dan James H.Flower (lulusan PhD dalam politics dari Harvard University, sekarang bertugas di University of California, San Diego)

4. Keterujaan saya dalam mengguna, memahirkan diri dan memanfaatkan Facebook adalah nyata. Kadang kadang saya seumpama screenagers yang menghadap notebook hampir 6 jam sehari. Lebih menarik, bila saya mengetahui salah satu faktor kemenangan Barrack Obama dalam 2008 presidential election adalah kerana kesediaan Obama menggunakan the power of online social networks and social (person-to-person) media.

5. Dalam mencapai maksud ini, Obama telah merekrut 2 orang manusia yang sangat berbakat untuk menguruskan on line campaign, iaitu Joe Rospars, yang telah membantu kempen Howard Dean pada tahun 2004 dan seorang lagi Chris Hughes, salah seorang dari co-founder Facebook. Hughes telah membina social networking site My. BarrackObama.com yang pada waktu kemuncak pernah di 'logged' oleh 1.5 juta akaun.

6. Pengguna memanfaatkan site ini untuk membincangkan soal calon, sumbangan kewangan dan mengaturancang aktiviti sosial dalam dunia sebenar. Menerusi perancangan maya ini, sepanjang tempoh kempen, 150 ribu campaign-related events telah pun dijalankan di 50 buah negeri. Mereka juga telah berjaya mendapat $600 juta dana dari 3 juta orang penyumbang bagi membiayai kempen Obama.

7. Catatan di atas adalah sebagai sebahagian dari kehebatan kuasa networking Facebook. Facebook diasaskan pada 28 Oktober, 2003 oleh Mark Zuckerberg dan rakan rakan iaitu Eduardo Saverin, Dustin Moskovitz dan Chris Hughes. Facebook dilancarkan pada February, 2004 di Cambridge, Massachusetts, USA dan sekarang ini mempunyai ibu pejabat di Palo Alto, California, Dublin, Ireland dan Seoul, South Korea. Pada January, 2009 Computer.com telah menyenaraikan Facebook sebagai most used social network, meletakkan myspace di tempat kedua.

8. Hari ini, percakapan Facebook boleh dibuat dalam hampir 70 bahasa dan dialek dan negara maya Facebook ini dihuni oleh 300 juta orang. Adalah sukar untuk di anggar nilai pasaran Facebook kerana pada Oktober, 2008, Zuckerberg dilaporkan berkata, "I dont think social network can be monetized in the same way that search did.. in three years from now we have to figure out what the optimum model is "...

9. Pada September, 2009, Facebook memaklumkan bahawa mereka telah mencatat aliran tunai positif buat pertama kalinya. Kalau di ambil kira, pembelian 1.6% saham Facebook pada harga $240 juta pada Oktober, 2007, oleh Microsoft nilai Facebook adalah sekitar $15 bilion. Sebelum itu, pada November, 2007 Billionaire Hong Kong Li Ka-shing telah melabur sebanyak $60 juta dalam Facebook.

10. Facebook amat menarik kerana ianya mempunyai banyak features. Walls, Pokes, Photos, Status, Gifts dan News Feed adalah antara contoh contoh features dalam Facebook. Adalah dikatakan lebih dari 2 bilion foto telah di 'uploaded' kepada Facebook site setiap bulan. Saya tidak bermaksud untuk memperincikan semua ini kerana saya masih baru dalam Facebook tetapi kesemua pemerihalan di atas mengingatkan saya akan 5 rukun asas dalam membina hubungan rangkaian.

11. Pertama, Orang yang menyisihkan diri daripada pergaulan tidak akan mencapai kemajuan. Pergaulan itu menceriakan dan menajamkan ingatan. Justeru itu manusia sememangnya suka kepada perhubungan. Ini adalah contoh nyata kepada homiphily. Birds of a feather flock together- dalam kata lain manusia suka kepada keserupaan dan kebersamaan (love of being alike). Kita membentuk network kita.

12. Kedua, Network kita membentuk kita. Tempat kita dalam network amat memberi kesan kepada penghidupan kita dan seorang yang mempunyai ramai kawan akan hidup lebih ceria dari seorang yang kurang berkawan. Sebab itu, kita diingatkan 'jangan bergaul dengan manusia, selain daripada orang yang dapat memberikan kebaikan kepadamu dan diri mereka'.

13. Ketiga, kawan akan membuakkan pelbagai kesan kepada kita. Tentu saja, social networks akan 'mengangkut' pelbagai kesan dari seorang kepada yang lain. Kehidupan itu adalah tiru meniru dan pindah memindah. Syair Arab menyebut, ' darihal seseorang tak usah kau tanya, tetapi tanyai lah siapa temannya, sebab tiap tiap teman adalah meniru temannya'.

14. Keempat, kawan kepada kawan kepada kawan juga boleh memberi pengaruh kepada kita. Tertarik saya untuk berkongsi kajian yang dibuat oleh psychologist Stanley Milgram pada tahun 1968 yang membuat pemerhatian kepada 1424 orang pejalan kaki pada satu petang di musim sejuk di New York City. Milgram telah meletakkan stimulus crowds yang berpura pura berhenti dan mendongakkan kepala melihat ke arah sebuah tingkap, di tingkat 6 bangunan berhampiran.

15. Singkat bicara, bila seorang sahaja diletakkan sebagai stimulus crowd hanya 42% sahaja dari pejalan kaki itu yang ikut mendongak melihat ke atas. Sebaliknya bila di letakkan 15 orang sebagi stimulus crowd ,86% dari pejalan kaki itu akan ikut mendongak melihat sama. Kajian ini juga mendapati 'the power of 5', maknanya 5 orang adalah bilangan yang paling optimum untuk mewujudkan stimulus crowd. Sebarang penambahan lebih dari 5 orang tidaklah menunjukkan peningkatan ketara dari segi daya pengaruh untuk ikut serta bersama meniru.

16. Kelima, semua network ada jangka hayat masing masing. Kita tidak boleh faham gelombang gerakan network dengan melihat atau menanyai seorang individu kerana network adalah himpunan kepada pelbagai individu yang selalunya mempunyai pelbagai cita rasa, sikap dan pendirian. Seumpama kek ianya adalah campuran dari pelbagai bahan dan perisa. Kek tidak mempunyai rasa tepung ataupun telor, sebaliknya adunan dari pelbagai rasa itu memberikan rasa tersendiri kepada kek - 'the whole comes to be greater than the sums of its parts'

17. Gelombang network Facebook ini pada saya sama seperti gelombang manusia yang mula terbentuk dan dilihat semasa pertandingan World Cup di Mexico pada tahun 1986. Fenomena gelombang manusia dalam stadium ini yang di kenali sebagai La Ola ini bergerak dalam arah jam dan secara konsisten bergelombang pada kelajuan '20 seats per second' tidak pun di orchestrated oeh sesiapa ataupun ada arahan dari ketua yang memakai 'megaphone atop a cooler'.

18. Gelombang network ini ada ritma hayatnya..... dan menerusi Facebook saya rasa bagaikan sedang berada dalam pergaulan maya yang membentuk kepercayaan dan keyakinan diri.

Wednesday, November 25, 2009

MINDA CINA SIRI 2


Kita sering terlupa hubungan akrab antara bahasa dan budaya. Bahasa mengandungi pati diri budaya. Ia memberikan perisa serta roh kepada budaya dan seumpama pintu yang membolehkan kita masuk ke dalam dan memahami budaya sesuatu bangsa itu.

Pengaruh bahasa kepada nilai, sikap dan kelakuan manusia adalah sangat jelas. Kekangan antara sesama insan dalam berkomunikasi di katakan antara faktor penyumbang kepada kekacauan dunia hari ini. Penterjemahan subjek teknikal adalah mudah, tetapi cubaan untuk menterjemahkan sikap dan nilai yang membudayai satu satu bangsa adalah sukar dan hampir mustahil.

Ketidak fasihan kita dalam satu satu bahasa akan menjadi batu penghalang bagi kita memahami lingkungan budaya bangsa itu, seumpama kita cuba untuk mandi dan dalam waktu yang sama memakai waterproof suit. Lantaran itu adalah sukar untuk kita memahami China dan orang Cina, kalau kita tidak memahami Hang zi (Hahn jee) ataupun 'chinese characters'.



Hang zi adalah sistem penulisan Cina berasaskan ideagraphs. Han zi 'characters' adalah bersumberkan kepada lukisan bergambar yang telah digunakan di China sejak 3000 tahun dahulu. Archeologists telah menemui 4600 individual characters yang dilakar atas tulang binatang, kulit kura kura, pelepah kayu, batu dan sebagainya. Dengan peredaran masa, lukisan dan lakaran ini menjadi semakin tersusun dan menjelang 1000 B.C ianya telah berevolusi menjadi ideograms seperti yang kita lihat pada hari ini.

Menerusi proses evolusi ini, ideographs telah berkembang mencapai 60,000 characters. Dictionary terkenal kwangxi menyenaraikan 47,031 characters. Begitupun untuk dianggap 'celik Cina' ataupun complete literacy dalam China moden hari ini, dalam maksud boleh membaca akhbar dengan lancar cukuplah dengan mengenal 3,500 hingga 4,000 characters. Manakala seorang well educated chinese boleh mengenal antara 6000-7000 characters. Setiap perkataan akan terbina dari satu, dua, tiga atau kadang kadang sampai 20 characters.


Perlu difahami, setiap ideograms ini akan menjadi pictorial image kepada benda, konsep hatta bunyi. Sekaligus ianya adalah 'hidup dengan makna' dan akan mengembalikan ingatan kepada zaman kebesaran dan keagungan tamadun China dahulu kala. Lantaran makna kepada pictographs ini bersifat universal maka ianya akan membawa makna yang serupa bila ianya ditulis, tidak kira apa jua bahasa atau dialek yang dipertuturkan oleh etnik Cina itu.

Kebijaksanaan merentasi etnik ini menjadikan semua orang Cina yang terdidik akan boleh membaca characters, dan fenomena luar biasa inilah yang mempersatukan seluruh China. Sesuatu yang tidak ada dalam abjad roman dan terlihat sebagai kekurangan yang nyata dalam penggunaannya dan pengaruh Latin dan dunia Barat.

Han zi bagaikan udara yang memberikan nafas kepada budaya China dan menjadi vehicle utama dalam menyambung warisan budaya dari satu generasi terdidik kepada generasi keluarga berikutnya. Dalam setiap keluarga Cina yang terdidik, anak anak akan menghabiskan banyak masa untuk menghafal bacaan beberapa ribu Hang zi dan kemudiannya belajar menulis dengan mahir. Kebolehupayaan menulis Han zi dengan kemahiran profesional akan menjadi hallmark kepada budaya tinggi seorang individu dan selalu dianggap sebagai syarat penting untuk berjaya dalam pelbagai bidang kehidupan.

Belajar untuk membaca dan menulis/melukis 3000-4000 characters akan memberikan impak besar kepada pembentukan watak seseorang pelajar bahasa Cina. Mereka akan menguasai kemahiran fizikal tangan, minda pula akan dikondisi untuk mengenal forms dan hubungannya dengan benda benda di sekitar serta terlatih untuk melakukan sesuatu dengan penuh ketelitian, ketepatan dan methodical manner.


Alphabet Roman hanya mengandungi 26 huruf, sedangkan untuk boleh lancar membaca ideograms Cina kita perlu menguasai sekurang kurangnya 3500 -4000 characters dan ada di antara characters ini memerlukan sampai 20 strokes untuk menulisnya mengikut cara dan susunan yang betul. Begitupun kebanyakan characters hanya memerlukan antara 10 strokes untuk menulisnya.

Apa yang dipanggil 'Han zi training' ataupun 'the power of characters' ini mengajar semua pelajar bahasa Cina untuk menghargai impak fizikal dan mental yang perlu dihayati bagi menulis characters tersebut, menghafalnya dan menguasainya. Latihan ini lah yang banyak membentuk perwatakan dan personaliti pelajar bahasa Cina.


Sejauh manakah 'the power of language ' akan terus mempersatukan China dan dapat menahan godaan ekonomi kapitalis, orientasi pengguna dan masyarakat demokrasi yang di bawa oleh barat, sesuatu yang amat menarik untuk sama sama kita saksikan.